SMM kecam kementerian ugut pelajar -Hazayani Zakaria Harakah

SMM kecam kementerian ugut pelajar –Hazayani Zakaria   

KUALA LUMPUR, 17 Jun: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengecam tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggunakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk mengugut mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) agar tidak terlibat dengan sebarang kempen pilihan raya.

Kecaman itu berikutan tindakan KPT mengeluarkan arahan kepada PTPTN untuk menahan permohonan seluruh mahasiswa baru sesi 2010/2011 Kuis untuk mendapatkan pembiayaan PTPTN akibat keterlibatan seorang mahasiswa tahun tiga kampus itu, Ahmad Shukri Kamarudin dalam kempen pilihan raya Hulu Selangor April lalu.

Arahan kepada pihak PTPTN itu dikeluarkan oleh Pegawai Khas Menteri KPT, Suhaimi.

Bercakap dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini, wakil SMM, Mohd Riedzuan Othman berkata, SMM menyifatkan tindakan KPT itu bukan sahaja merupakan satu ugutan dan penganiayaan terhadap institut pengajian tinggi swasta (IPTS) tersebut dan kepada mahasiswa khususnya bahkan ia juga dilihat sebagai satu tindakan zalim terhadap mahasiswa.

“SMM merasakan bahawa tindakan KPT dan PTPTN yang menahan permohonan pembiayaan PTPTN kepada seluruh mahasiswa baru Kuis ini bukan sahaja merupakan satu ugutan dan penganiayaan terhadap IPTS tersebut dan kepada mahasiswa khususnya bahkan ia juga dilihat sebagai satu tindakan zalim terhadap mahasiswa,” katanya.

Selepas Mohd Shukri didapati terlibat dalam kempen pilihan raya di Hulu Selangor, PTPTN menerusi Ketua Eksekutifnya, Wan Ahmad Wan Yusoff telah mengeluarkan satu surat tunjuk sebab kepada pihak pengurusan Kuis dengan pemakluman tindakan untuk menahan permohonan seluruh mahasiswa baru Kuis yang dianggarkan berjumlah hampir 1,500 orang untuk mendapatkan pembiayaan PTPTN sehingga penjelasan yang memuaskan diperoleh.

SMM turut mempersoal tindakan KPT yang membabitkan seluruh mahasiswa semata-mata disebabkan seorang mahasiswa Kuis didapati terlibat dalam kempen pilihan raya, lebih-lebih lagi tidak mendapatkan penjelasan daripada mahasiswa yang didakwa terlibat itu.

“SMM juga melahirkan rasa dukacita dengan tindakan Menteri KPT yang mengeluarkan arahan kepada pihak PTPTN untuk menahan permohonan pembiayaan PTPTN kepada seluruh mahasiswa baru Kuis semata-mata disebabkan seorang mahasiswa Kuis telah didapati terlibat dalam kempen pilihan raya Hulu Selangor yang lepas tanpa mendapatkan penjelasan yang penuh daripada mahasiswa tersebut terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria yang merupakan bekas pimpinan mahasiswa Universiti Malaya, menggesa KPT mengambil serius perkara yang dibangkitkan itu dengan menarik semula arahan yang dikeluarkan kepada PTPTN.

Tegasnya, KPT tidak seharusnya menggunakan PTPTN untuk tujuan mengugut mahasiswa sebaliknya menyerahkan kepada pihak universiti kepada mahasiswa tersebut sekiranya didapati benar-benar bersalah.

“Saya bangkitkan masalah ini di Parlimen untuk perhatian menteri. Bagi saya tindakan ini satu kezaliman dan penganiayaan kerana PTPTN merupakan satu agensi memberikan pembiayaan kepada mahasiswa. Biarlah apa yang berlaku di peringkat pelajar diselesaikan oleh pihak universiti, bukan dengan cara ugutan begini,” tegasnya.

Comments are closed.