Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik

Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik
ISBN:   9676111430
Author:   Said Zahari
Publisher: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Year:   2001

 

Karya ini amat bermanfaat sekiranya anda ingin menyelami semangat pejuang kebenaran. Kisah Mogok Utusan Melayu mungkin tidak diketahui atau dihayati oleh rakyat yang dilahirkan pada tahun 1970 ke atas. Namun semangat orang Melayu pasca merdeka hanya dapat dirasa dan dihadam sekiranya lembar-lembar sejarah mogok tersebut dibuka semula dan dikaji. Berdekad-dekad yang lalu, pada suatu detik dan ketika, menegakkan kebenaran dan mendedahkan kemungkaran adalah tanggungjawab yang digalas oleh wartawan Utusan Melayu. Namun kelantangan mereka disekat dan mereka telah dibisukan…Semangat dan api perjuangan mereka dipadamkan oleh keangkuhan, ketamakan dan kekuasaan pemerintah.

Buku ini turut menceritakan kisah cinta suami yang dipenjara dan isteri yang setia. Isteri enggan meminta fasakh meskipun suami dipenjara berbelas tahun lamanya. Anak-anak pengikat kasih dibela dan diasuh oleh sang isteri dengan penuh kesabaran dan kecekalan. Isteri Pak Said menzahirkan ketaqwaan yang sukar ditemui.Penjara hanya tembok-tembok derita yang tidak bisa memadamkan obor kasih sayang isteri Pak Said. Buku ini bukan kisah cinta namun ia memaparkan bahawasanya setiap perjuangan itu menuntut pengorbanan dan penderitaan. Sebagaimana dijanjikan oleh Allah dalam AlQuran bahawa pertolongan Allah akan tetap sampai pada hamba Allah yang sabar, Pak Said dibebaskan dan pulang ke pangkuan isteri yang sabar menanti. Buku ini juga menceritakan segala pembodohan dan ketaatan buta tuli anjing penjajah yang menyebabkan kejatuhan saudara sebangsa dan seagama (Islam). Buku ini juga turut menyebabkan saya membuat kesimpulan bahawa setiap Muslim diuji sama ada  memilih mencari keredhaan Allah atau keredhaan manusia.

Saya ibaratkan di sini Pak Said dan isteri sebagai Uda & Dara. Uda & Dara adalah naskhah karya Allahyarham Usman Awang, salah seorang pejuang mogok Utusan Melayu. Uda menyatakan pada Dara, “Daraku nantikan abang, mas ringgit membakar kita.” Lalu Dara menjawab, “Uda hamba tunggu, angin lalu…” Alhamdulillah kisah cinta Pak Said dan isteri tidak setragis kisah cinta Uda dan Dara yang hanya dapat bersanding di pusara. Namun kisah cinta Pak Said dan isteri sama keramatnya dengan kisah cinta Uda dan Dara. 

Semoga pengorbanan dan penderitaan Pak Said dan arwah isteri diberi ganjaran oleh Allah Subhana Wa Taala. AlFatihah.

Comments are closed.