Monthly Archives: January 2011

Ubah silibus tarik pelajar lelaki Oleh ROHANA MAN

ARKIB : 07/07/2010 Ubah silibus tarik pelajar lelaki Oleh ROHANA MAN rohana.man@utusan.com.my

Isu pelajar wanita menguasai tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bukanlah perkara baru. Ia muncul setiap kali pelajar baru mendaftar masuk ke universiti-universiti awam seluruh negara. Terbaru, isu itu timbul semula apabila pendaftaran pelajar baru bagi sesi pengajian 2010/2011 pada 3 dan 4 Julai lalu menyaksikan pelajar wanita masih menguasai kampus universiti-universiti awam negara ini.

Daripada 105,377 pelajar baru yang mendaftar, sebanyak 61,750 atau 58.6 peratus adalah pelajar wanita. Ini bermakna, persekitaran kampus-kampus universiti awam kita akan dibanjiri oleh pelajar wanita. Apabila lebih banyak pelajar wanita di IPTA, maka lebih ramailah graduan wanita akan bersaing untuk merebut jawatan yang sesuai di sektor awam mahupun swasta. Ia sekali gus menunjukkan lebih ramai wanita akan mendapat pekerjaan yang baik berbanding dengan lelaki.

Mungkinkah fenomena tersebut akan menyebabkan wanita mengambil alih peranan lelaki dalam mencari rezeki untuk keluarga. Mungkin juga lebih banyak kaum lelaki terpaksa menjadi ‘suri rumah’ apabila isteri-isteri mereka keluar bekerja. Ia kini sedang berlaku dan tidak hanya di negara kita, malah turut melanda seluruh dunia. Soalnya, adakah ia satu keadaan yang ‘sihat’ untuk masyarakat kita?

Jika diteliti reaksi daripada pelbagai pihak yang mengulas isu tersebut yang dipaparkan di media cetak dan media elektronik sejak tiga atau empat tahun lalu, banyak komen menegaskan bahawa ia satu fenomena yang agak merisaukan. Ini kerana keadaan itu menunjukkan pelajar lelaki kurang berkualiti dari segi kelayakan akademik berbanding dengan pelajar wanita. Dengan lain perkataan, pelajar wanita lebih layak dalam memenuhi syarat-syarat kemasukan ke IPTA berbanding dengan pelajar lelaki.

Senario itu diakui oleh seorang pensyarah di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad yang menegaskan bahawa kemasukan ke IPTA ditentukan oleh kelayakan akademik, bukannya keseimbangan jantina. Menurutnya, pelajar wanita lebih cemerlang kerana mereka lebih rajin membaca, menghafal dan mentelaah pelajaran. Memandangkan sistem pendidikan kita lebih menjurus kepada tiga perkara tersebut, maka pelajar wanita yang secara lumrahnya lebih tekun dalam menghadapi pelajaran yang bercorak sedemikian lebih berjaya. Maka hasilnya mereka mampu meraih keputusan peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia yang lebih cemerlang berbanding dengan pelajar lelaki. “Dari aspek psikologi, memang itulah sifat pelajar wanita. Sebab itulah juga, apabila mereka memohon masuk ke universiti, mereka lebih suka memilih bidang-bidang yang memerlukan banyak membaca dan menghafal seperti kesenian, kesusasteraan dan sains sosial,” katanya kepada Utusan Malaysia. Menurutnya, pelajar lelaki pula lebih gemar kepada bidang-bidang yang tidak memerlukan mereka banyak membaca seperti kejuruteraan, arkitek, seni bina atau bio perubatan. Dr. Noor Sulastry juga berkata, keadaan itu menyebabkan kursus-kursus berkenaan dimonopoli oleh pelajar lelaki di IPTA. “Jika dilihat pada keseluruhan jumlah pelajar baru, memang benar pelajar lelaki kurang tetapi mereka masih dominan dalam bidang-bidang yang disebut tadi,” ujarnya. Sehubungan itu, katanya, jika kerajaan mahu mengatasi perkara tersebut iaitu melihat keseimbangan gender di semua IPTA, maka silibus perlu diubah supaya ia lebih mampu menarik pelajar lelaki.

Ini kerana banyak IPTA kini menawarkan kursus-kursus yang kurang digemari pelajar lelaki dan jika adapun, tempatnya begitu terhad. “Pelajar lelaki tak minat akademik. Mereka lebih suka kepada aspek-aspek teknikal seperti teknologi maklumat, kejuruteraan dan lain-lain yang melibatkan kemahiran. “Sebab itulah, pelajar lelaki di politeknik lebih ramai. Jadi, untuk menarik lebih ramai pelajar lelaki ke IPTA, tempat untuk mengikuti kursus-kursus yang diminati mereka perlu ditambah,” ujarnya. Apabila lebih banyak tempat yang disukai pelajar lelaki disediakan di IPTA, maka secara tidak langsung, mereka akan lebih bersungguh-sungguh belajar di peringkat sekolah untuk mencapai impian ke menara gading.

Fakta itu dibuktikan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang menyaksikan majoriti pelajar lelaki mendaftar pada sesi pengajian 2010/2011 baru-baru ini. Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin dalam satu kenyataan akhbar berkata, sejak universiti itu ditubuhkan pada 1993, bilangan pelajar lelaki sentiasa mengatasi pelajar wanita. Ini kerana katanya, UTHM menawarkan kursus-kursus yang secocok dengan jiwa dan minat pelajar lelaki iaitu bidang-bidang kejuruteraan. Pada sesi pengajian berkenaan, sebanyak 55 peratus daripada kira-kira 3,000 pelajar baru yang mendaftar adalah lelaki. Pendaftaran pelajar baru di universiti itu diadakan pada 26 Jun hingga 3 Julai lalu. Beliau menjelaskan bahawa nisbah pelajar lelaki dan perempuan di universiti itu adalah sekitar 55:45 dan pernah mencecah 52:48 yang memihak kepada pelajar lelaki. “Pada pendapat saya, keadaan ini berlaku kerana UTHM tidak menawarkan pengajian yang sangat diminati pelajar wanita antaranya sains makanan, sains sosial, perubatan dan farmasi,” katanya.

Advertisements

Tidak diiktiraf majlis perubatan?-Utusan Malaysia

 

Tidak diiktiraf majlis perubatan?

 

 

CYBERJAYA 3 Jan. – Impian sebahagian daripada 236 pelajar perubatan kemasukan sesi 2010 Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) untuk bergelar doktor mungkin berakhir sebagai mimpi ngeri apabila Ijazah Sarjana Perubatan dan Sarjana Pembedahan (MBBS) di kolej itu berdepan masalah tidak diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Hakikat itu terpaksa ditelan oleh mereka setelah CUCMS menerima arahan daripada badan profesional pengamal perubatan itu pada 29 November lepas agar mengurangkan bilangan pelajar perubatan sesi tersebut kepada 150 sahaja.

Setakat ini, senarai nama 86 pelajar yang akan digugurkan tersebut masih belum diumumkan.

Presiden CUCMS, Prof. Datuk Dr. Abu Abdullah berkata, sekiranya arahan itu tidak diikuti, besar kemungkinan program ijazah perubatan CUCMS menghadapi masalah tidak diiktiraf oleh MMC malah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Sekiranya arahan tersebut tidak diikuti, ijazah pelajar perubatan tahun kelima, keempat, ketiga dan kedua kolej ini turut berdepan dengan masalah tidak diiktiraf.

“Bukan itu sahaja, pelajar-pelajar itu juga dikehendaki untuk mengambil semula peperiksaan MMC,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan penjelasan kepada pelajar dan ibu bapa dalam sesi pertemuan mengenai masalah itu di kolej berkenaan, di sini hari ini.

Abu berkata, pihak kolej juga tidak akan dapat membuat pengambilan untuk kemasukan pelajar untuk sesi tahun hadapan atau untuk terus beroperasi sekiranya tidak mematuhi arahan tersebut.

“Bagi mengelakkan perkara itu daripada berlaku, pihak kolej diarah untuk bertanggungjawab mengagihkan lebihan 86 pelajar itu nanti ke program lain atau ditukar ke institut pengajian tinggi swasta (IPTS) lain,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, CUCMS menawarkan mereka yang terlibat dengan pilihan itu untuk menukar pengajian ke bidang farmasi, menangguh pengajian untuk mengurangkan jumlah pelajar atau berpindah ke universiti lain.

Mengulas lanjut mengenai masalah itu, Pengarah Urusan CUCMS, Dr. Mohamad Salmi Mohd. Sohod berkata, pihak pengurusan kolej akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dianggotai pihak pengurusan kolej, pensyarah dan pelajar dalam masa terdekat untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Perbincangan dan langkah penyelesaian akan difikirkan pada kadar yang segera untuk mengatasi masalah ini secepat mungkin,” katanya.

Beliau menambah rayuan juga akan dikemukakan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi, MQA dan MMC sendiri kerana ia melibatkan masa depan para pelajar.

Mohamad Salmi memberitahu, 108 daripada jumlah pelajar itu mendapat biasiswa tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), 57 lagi di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan selebihnya dibiayai keluarga sendiri.

Sementara itu, ibu salah seorang pelajar yang ditemui pemberita, Zehan Azizan, 43, berkata, dia berharap pihak pengurusan kolej dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan kadar segera.

“Saya berharap pihak pengurusan dapat melakukan sesuatu kerana ia melibatkan masa depan pelajar yang mengambil jurusan perubatan ini,” katanya kesal.

Dia berkata, masalah tersebut tidak sepatutnya timbul pada anaknya yang mendapat tajaan JPA untuk memulakan sesi pengajian bagi semester kedua pada awal tahun ini.

Bagi Sharifah Mat Said, 54, pula, jalan penyelesaian terbaik perlu dicari di antara pihak pengurusan kolej dengan pihak-pihak berkenaan kerana ia melibatkan masa depan para pelajar.

“Saya telah berhabis banyak duit untuk membiayai yuran pengajian anak saya tanpa sebarang tajaan. Memang rugi dan tidak adil untuk menukar ke bidang pengajian lain mahupun belajar di tempat lain,” katanya.

Seorang pelajar, Sarah Adibah Abdul Mutalib, 19, pula berkata, dia berharap masalah itu akan diselesaikan dengan segera oleh pihak pengurusan kolej.

“Saya serah semua hal kepada pihak pengurusan dan berharap tidak akan ditukar ke bidang pengajian lain atau pun ke mana-mana IPTS yang lain,” katanya.