Mahasiswa UPM tidak matang-Utusan Malaysia

Mahasiswa UPM tidak matang

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Tindakan kira-kira 200 mahasiswa mengadakan demonstrasi di hadapan pintu masuk utama Bangunan Pentadbiran Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas bantahan mereka berhubung keputusan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ditolak, menunjukkan ketidakmatangan mereka sebagai golongan terpelajar.

Perhimpunan itu yang mulanya berlangsung secara aman bertukar agresif sehingga ada pengawal keselamatan yang cedera dan pintu bangunan rosak gara-gara diasak oleh kumpulan tersebut.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPM, Prof. Dr. Mohd. Fauzi Ramlan (gambar) berkata, meskipun pihak universiti melihat demonstrasi itu sebahagian proses membentuk kematangan, namun ia memperlihatkan perkembangan tidak sihat apabila melibatkan keganasan.

“Universiti membuat keputusan tidak akan mengenakan sebarang tindakan terhadap mahasiswa tersebut, sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan lanjut berhubung insiden itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Berikutan kejadian tersebut, Bahagian Keselamatan UPM membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan selanjutnya.

Dr. Mohd. Fauzi turut kesal dengan campur tangan mahasiswa daripada universiti lain yang turut serta membantah keputusan pemilihan MPP UPM itu.

Jelasnya, campur tangan pihak luar hanya akan menjadikan perkara tersebut lebih rumit.

Beliau yang turut bersetuju dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta semua mahasiswa menghormati keputusan pemilihan MPP tersebut.

Semalam, Mohamed Khaled meminta keputusan pemilihan tersebut dihormati kerana ia ditentukan oleh para pelajar selaku pengundi.

Komen

Bagi Radin Umar pening, dan pusing dan ……..Kamu menganiaya aku yang mencari keredhaan Allah kerana kamu mencari redha manusia….Allah tidak akan membantu sesiapa yang mencari redha manusia….Melaratlah kamu selagi kamu tidak berlaku adil kepada aku dan anak-anakku. Aku tak tinggal solat tasbih mohon bantuan Allah.

Comments are closed.