Pro-M UPM bantah Palapes halang anggota tanding pilihan raya kampus-Malaysian Insider

Pro-M UPM bantah Palapes halang anggota tanding pilihan raya kampus

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Kumpulan pelajar Pro-Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) membantah tindakan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) universiti itu menghalang anggotanya daripada terlibat dalam pilihan raya kampus yang bakal diadakan dalam waktu terdekat.

Pengerusi Pro-Mahasiswa UPM Syed Syafiq Syed Hashim berkata, larangan tersebut merupakan satu langkah bertujuan menyekat kebebasan mahasiswa.

“Anggota Palapes dihalang untuk terlibat dalam pilihan raya kampus sama ada untuk jadi calon, pencadang atau penyokong dan ini yang kita bantah apabila arahan itu dikeluarkan,” kata beliau yang terkejut mengetahui perkara tersebut.

“Kita ada lebih kurang 400 anggota Palapes dan mereka tidak dibenarkan untuk terlibat dalam pilihan raya kampus dan kami melihat ia satu usaha untuk  menyekat kebebasan mahasiswa untuk terlibat dengan proses demokrasi di kampus,” katanya.

Pilihan raya kampus UPM dijadual berlangsung pada 21 Februari ini.

Tambah Syed Syafiq, tidak wajar Palapes menghalang mana-mana mahasiswa termasuk anggotanya terlibat dalam pilihan raya kampus.

Justeru, beliau meminta supaya Palapes menarik balik arahan yang dikeluarkan itu.

“Selain itu, kami juga berpendapat mana-mana mahasiswa termasuklah anggota Palapes mempunyai hak untuk menawarkan diri bagi memimpin mahasiswa di kampus.

“Justeru, kami berharap pihak Palapes di UPM segera menarik balik arahan tersebut agar proses demokrasi di kampus dapat berjalan sebaiknya,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini berhubung arahan yang dikeluarkan Palapes itu.

“Setakat hari ini Palapes masih belum menarik balik arahan itu, kita akan bincang dan maklumkan perkembangan kemudian,” jawab Syed Syafiq.

Awal bulan lalu, Pro-Mahasiswa UPM menuntut agar pentadbiran pusat pengajian tinggi itu memberikan “kuasa sepenuhnya” kepada mahasiswa untuk menguruskan pilihan raya kampus.

Syed Shafiq berkata, tuntutan itu dibuat kerana pihaknya sudah hilang kepercayaan terhadap jawatankuasa yang “diamanahkan” untuk menguruskan pilihan raya kampus.

Comments are closed.