Pro Mahasiswa UPM tuntut penjelasan, mahu TNC minta maaf-Malaysian Insider

Pro Mahasiswa UPM tuntut penjelasan, mahu TNC minta maaf
Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 23 Feb — Meskipun Universiti Putra Malaysia (UPM) menarik balik pembatalan status 33 calon termasuk kemenangan 10 pelajar dilabelkan sebagai kumpulan Pro Mahasiswa, kumpulan itu tetap mahu Timbalan Naib Canselornya Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan meminta maaf dan membuat pengumuman rasmi secara terbuka mengenai perkara itu.

“Kami mahu TNC sendiri bersemuka dan mengumumkan bahawa UPM menarik balik arahan pembatalan itu, kami hanya mahukan penjelasan.

“TNC perlu bertanggungjawab dalam perkara, kami akan terus berada di sini (pentadbiran UPM) sehingga TNC minta maaf dan beri jaminan perkara ini tidak berlaku lagi,” kata jurucakap Pro Mahasiswa Mohd Ramzul Nasri Kamarusaman kepada The Malaysian Insider.

Difahamkan kira-kira 40 ahli Pro Mahasiswa berada di pentadbiran UPM sejak pagi tadi sebagai bantahan berhubung tindakan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UPM yang membatalkan kesemua status kelayakan calon kumpulan itu dengan alasan berkempen secara berkumpulan.

Pembatalan kesemua calon Pro Mahasiswa dibuat melalui panggilan telefon dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) malam tadi.

Tambah, Mohd Ramzul, pihaknya hanya mahukan penjelasan berhubung perkara itu dan akan beredar sekiranya Dr Mohd Fauzi tampil membuat pengumuman rasmi.

Dalam perkembangan terbaru tidak sampai 24 jam itu, UPM tunduk desakan pelajar dan memutuskan untuk menarik balik arahan pembatalan status 33 calon Pro Mahasiswa.

Beberapa jam sebelum keputusan itu diumumkan, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menggesa UPM agar menarik balik keputusan itu.

Keputusan itu disahkan Mohd Fauzi Ramlan ketika dihubungi The Malaysian Insider sekitar 12.30 tengah hari tadi.

Dengan keputusan itu, Pro Mahasiswa mendapat semula kedudukan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Sementara itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh menyifatkan langkah yang diambil pengurusan UPM itu adalah tindakan tepat.

“Itu keputusan yang betul, saya harap kita belajar daripada kes ini.

“Jangan berlaku lagi mana-mana selepas ini,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Pada pilihan raya kampus UPM, kumpulan Pro Aspirasi mempertahankan kemenangan apabila memperoleh kemenangan besar menewaskan Pro Mahasiswa.

Pro Aspirasi menang dengan majoriti besar apabila menguasai 32 kerusi termasuk lima kerusi umum berbanding Pro Mahasiswa yang hanya mendapat 11 kerusi.

Sebanyak 43 kerusi dipertandingkan termasuk sembilan kerusi umum dan barisan Pro Mahasiswa bertanding di 33 kerusi.

Comments are closed.