Ke mana hala tuju Universiti Malaya? Oleh PENCINTA NEGARA, http://www.utusan.com.my/

Ke mana hala tuju Universiti Malaya?
PENCINTA NEGARA
Kuala Lumpur
SEJAK cawangan Universiti Malaya (UM) ditubuhkan di Kuala Lumpur pada tahun 1959, ia telah berkembang dari segi saiz, fakulti dan organisasi mengikut keperluan pembangunan negara, ekonomi dan masyarakat dalam proses Malayanisasi (1960-an), proses pembangunan pendidikan (1960-an hingga 1980-an), proses pembangunan ekonomi melalui Dasar Ekonomi Baru (1970-1980-an) dan proses pembangunan dan kebajikan luar bandar (1970-an).

UM dan beberapa universiti perdana lain seiringan telah memainkan peranan penting dalam proses pembangunan sumber manusia profesional dan kemahiran tinggi bagi memikul agenda pembangunan negara bangsa serta mendokong hasrat nasionalisme atau pembangunan negara dalam pelbagai aspek.

Adakah UM, sebagai universiti yang diperkasakan oleh Parlimen dalam 1960-an, masih mendokong hasrat nasionalisme dan intelektualisme progresif bangsa Malaysia?

Adakah komitmen UM tidak lagi begitu? Benarkah, ia kini ingin menjadi korporat sepenuhnya, lalu menganggap ia sudah bebas dan berautonomi sepenuhnya?

Benarkah Naib Canselor dan Lembaga Pengarah Universiti seolah-olah berkuasa penuh dan boleh berbuat apa sahaja?

Benarkah, misalnya, sebagai demonstrasi kuasa, pengurusan tertinggi UM telah menyebabkan secara langsung dan tidak langsung seramai 122 orang pakar dan profesor keluar dari UM pada tahun 2010-2011 dan yang paling ramai (76 orang) staf dan doktor pakar bedah dari Fakulti Perubatan?

Benarkah, sejak 2011 hingga 2013 ini lebih ramai lagi pensyarah dan pakar yang ingin keluar UM, khasnya dari Fakulti Perubatan, Akademi Pengajian Islam dan Sains Sosial?

Alasannya ialah pakar dan pensyarah UM yang ingin keluar itu mahu mencari peluang kerja lebih baik dan perkara ini perlu digalakkan.

Tidakkah perkara ini perlu disiasat untuk mengetahui mengapa pakar dan pensyarah senior ingin keluar dari UM pada kadar yang drastik?

Trend ini masih berlarutankah?

Benarkah, profesor senior dan tua juga jadi mangsa demonstrasi kuasa pengurusan UM?

Adakah mereka tercampak keluar dan dibuang atas alasan kurang produktif secara internasional?

Maka itu benarkah, berduyun-duyunlah pensyarah Bangladesh, India, Afrika dan Iran masuk ke beberapa fakulti, khasnya Fakulti Kejuruteraan dan Perubatan?

Mereka semua tidak boleh mengajar kursus-kursus dalam Bahasa Malaysia dan mereka mengutamakan penulisan kertas jurnal.

Siswa-siswi merana kerana tidak faham Bahasa Inggeris mereka. Pensyarah-pensyarah Malaysia yang kembali dengan ijazah Ph.D tidak diberi keutamaan jawatan pensyarah, khasnya di Fakulti Sains.

Pensyarah Malaysia yang tidak suka keadaan ini boleh keluar atau duduk diam diri memandang sahaja. Bersuara akan kena tindakan autokratik.

Ia hendak menjadi 200 teratas dalam penarafan THES, tetapi tidak mencapainya selama tiga tahun ini, lalu UM tidak mahu beri data kepada THES tetapi beri data pula ke penarafan QS, yang kurang martabat daripada THES. Lantaran nampaknya UM peroleh antara 200 terbaik, dan bermegah-megahlah Naib Canselornya.

Lupalah ia akan agenda pembangunan nasional dan agenda menjadi Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu antarabangsa, dengan karya-karya baru dalam Bahasa Melayu, tidak seperti orang Jepun, Korea, Perancis, Rusia dan Jerman yang mempunyai patriotisme ilmu dalam bahasa masing-masing.

Benarkah, kini UM hendak mengecilkan fakulti-fakulti dan akademi-akademi yang ada menjadi enam fakulti.

Alasannya hendak susun semula supaya dekan super (super dean) mempunyai jajahan kuasa yang lebih luas dan lebih kos efisien.

Kononnya UM hendak menjadi universiti ternama ala liga ivy di Amerika Syarikat yang hanya buat kajian impak tinggi untuk penerbitan kertas semata-mata.

Lupa lagi UM hendak memperkukuhkan kualiti kesarjanaan dan kemenjadian profesional siswa-siswi dalam pelbagai bidang.

Graduan sekadar profesional kerusi malas yang hanya hendak duduk di pejabat untuk memberi servis. Hendak memajukan teknologi dan masyarakat luar bandar mereka tidak ada komitmen.

Pengecilan UM akan menyebabkan pengajian dan jabatan sejarah, geografi, falsafah, pengajian Islam, pengajian Melayu, sastera, kejuruteraan vokasional dan pendidikan akan menguncup juga, sedangkan jabatan-jabatan ini penting untuk pendidikan di sekolah dan politeknik.

Dicadangkan satu Jawatankuasa Parlimen atau Majlis Pendidikan Tinggi perlu siasat dan perbetulkan hala tuju dan krisis di UM demi perpaduan bangsa dan kemajuan negara Malaysia tercinta.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130610/fo_01/Ke-mana-hala-tuju-Universiti-Malaya#ixzz2VtJBa7KT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Comments are closed.