Kosmo!’s coverage on USIM

Enggan beri markah kasihan – Pensyarah USIM dakwa terpaksa letak jawatan ekoran keputusan peperiksaan

Oleh HISHAM IDRIS
hisham.idris@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Gara-gara hanya meluluskan empat daripada 157 pelajar jurusan undang-undang, seorang pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendakwa ‘dipaksa’ meletakkan jawatan demi menjaga reputasi universiti.

Nor (bukan nama sebenar) memberitahu, punca peletakan jawatannya adalah kerana tidak tahan lagi menerima tekanan supaya mengikut kehendak universiti dalam pemberian ‘markah kasihan’.

“Bagaimana hendak memberi markah jika itu merupakan markah sebenar yang mereka peroleh. Malah saya sudah memberi markah yang boleh diberikan meskipun mereka (pelajar) tidak layak mendapatnya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Ampang semalam.

Menurut Nor, 35, pemberian markah itu melibatkan pelajar dua kursus berlainan semester dua sesi akademik 2007/2008 lepas.

Menceritakan apa yang dilaluinya, Nor berkata, ia bermula apabila dia diberikan surat penjelasan mengenai kegagalan pelajarnya pada Jun lalu melalui dekan fakulti terlibat.

Kerana kegagalan para pelajar itu, dia kemudian dikritik hebat oleh pihak atasan dan mereka mahu dia menambah markah termasuk memberikannya berdasarkan kehadiran pelajar ke kelas sepanjang tahun semata-mata mahu mengurangkan jumlah pelajar yang gagal.

“Tapi saya berkeras. Mana boleh saya beri markah cara demikian sedangkan itu memang tanggungjawab wajib mereka untuk hadir ke kelas,” ujarnya yang menjadi pensyarah di universiti itu sejak Disember 2007.

Tambah Nor, pelajar terlibat bukan sahaja tidak menjawab soalan tetapi turut gagal mengarang esei dalam bahasa Inggeris.

 

NEGARA

USIM larang pensyarah ulas isu ‘markah kasihan’

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini semalam ‘mengeluarkan’ arahan kepada semua pensyarahnya supaya tidak ‘membuka mulut’ kepada mana-mana media berhubung isu membabitkan ‘markah kasihan’.

Beberapa pensyarah universiti itu yang dihubungi Kosmo! ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut memberitahu, pihak pentadbiran USIM melarang mereka daripada mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media bagi mengelak sebarang maklumat tidak tepat dilaporkan kepada umum.

“Minta maaf, saya tidak dapat berjumpa anda (wartawan Kosmo!) kerana pihak pentadbiran telah mengetahui dan saya diarah untuk tidak mengeluarkan apa-apa maklumat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Abdul Syukor Husin menafikan wujud pemberian ‘markah kasihan’ di universiti tersebut dan menegaskan tiada jalan pintas kepada para pelajarnya untuk lulus peperiksaan.

Rabu lalu, Kosmo! melaporkan dakwaan seorang bekas pensyarah universiti itu yang dikenali sebagai Nor, 35, yang mendakwa beliau terpaksa meletakkan jawatan berikutan tindakannya hanya meluluskan empat daripada 157 pelajar jurusan undang-undang.

Menurut pensyarah itu, punca peletakan jawatan itu kerana beliau tidak tahan lagi menerima tekanan supaya mengikut kehendak universiti yang mahukan dia memberi ‘markah kasihan’ kepada pelajarnya.

NEGARA

Tiada ‘markah kasihan’

Oleh NADZARUL AMIR
ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my

 

NAIB Canselor USIM, Dr. Abdul Shukor Husin menyifatkan laporan Kosmo! bertarikh 15 April telah menjejaskan reputasi institusi pendidikan berkenaan.


 

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tidak menawarkan jalan pintas dan layanan istimewa kepada mana-mana pelajarnya untuk lulus peperiksaan dengan amalan ‘markah kasihan’, malah kesemua mereka perlu berjaya dengan usaha sendiri.

Bagi Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Abdul Shukor Husin, dasar universiti itu sudah jelas melalui pelaksanaan prosedur Penggredan, Pemarkahan dan Pengeluaran Keputusan Peperiksaan.

Katanya, setiap keputusan peperiksaan akan dibentang dan diteliti dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemeriksa Pra-Siswazah (JPPS) peringkat fakulti dan seterusnya dirujuk kepada Senat Universiti untuk perakuan.

“Kita juga ada panel luar yang memantau sistem akademik dan peperiksaan di USIM.

“Pensijilan MS ISO 9001:2000 yang telah diperoleh sejak 11 November 2004 dan perolehan sijil buat kali kedua pada 8 Januari 2008 oleh pihak Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) membuktikan USIM ada prosedur jelas dan telus terhadap sistem pendidikannya,’’ jelas beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas yang diadakan di Bangunan Canselori, USIM di sini semalam bagi mengulas laporan Kosmo! pada 15 April lalu mengenai dakwaan seorang pensyarah universiti itu ‘dipaksa’ meletakkan jawatan kerana hanya meluluskan empat daripada 157 pelajar jurusan undang-undang.

Pensyarah itu yang hanya dikenali sebagai Nor mendedahkan, punca peletakan jawatannya adalah kerana tidak tahan lagi menerima tekanan supaya mengikut kehendak universiti memberikan ‘markah kasihan’.

 

Comments are closed.