‘Pensyarah kedekut markah’ buat laporan-KOSMO!

NEGARA

‘Pensyarah kedekut markah’ buat laporan

Oleh JUNHAIRI ALYASA dan NUZULSHAM SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Selepas lapan bulan menahan sabar dan seksa, seorang pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Yasmin Norhazleena Md. Noor, 35, yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penganiayaan tampil membuat laporan polis bagi menegakkan keadilan.

Yasmin membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini pukul 11.15 pagi semalam.

Semasa ditemui selepas membuat laporan, wanita itu berkata, tujuan laporan polis itu dibuat kerana Kementerian Pengajian Tinggi didakwa tidak menjawab surat aduan yang dihantar pada 19 Jun 2008.

Semasa isu itu dibangkitkan April lalu, Yasmin berkata, beliau tidak sangka dengan tindakan universiti itu yang mendesak supaya beliau meluluskan para pelajar gagal.

Lebih sedih apabila Timbalan Naib Canselor Universiti itu juga mengeluarkan kata-kata fitnah bahawa beliau mempunyai niat jahat dalam menggagalkan pelajarnya.

“Saya mahu keadilan kerana Timbalan Naib Canselor juga memaki-hamun dan menghalau saya keluar dari USIM gara-gara saya enggan memanipulasikan markah pelajar untuk meluluskan mereka yang gagal,” dakwanya.

Comments are closed.